Assalamualaikum
PAGI adalah waktu yang paling saya suka. Suasana sunyi sepi. Dada dan kepala terasa sangat lapang macam sebuah padang yang luas terbentang. Pandangan boleh menikam jauh hingga ke hujung tanjung. Cuma satu saja yang tak seronok sejak akhir-akhir ini kerana laman Facebook agak ribut sikit. Memang tak sabar menunggu pilihanraya berakhir kerana sekarang 'demam' pilihanraya yang menular di kalangan masyarakat agaknya dah mencapai tahap tenat.
Jika di awal kempen dahulu, sebaik sahaja Parlimen dibubarkan dan tarikh pilihanraya diumumkan, kebanyakan pelayar di laman maya hanya bertenggek di atas 'pagar'. Masing-masing lebih seronok membaca post yang berlambak di Internet. Saya pun tak terkecuali. Apa saja yang kita nak tau boleh petik petik saja macam petik ulam di laman. Tapi kini si pelayar atas pagar pun dah mula menulis...bagi komen, bagi pendapat. Share dan Like tanpa berfikir dua kali. Dapatlah dosa pahala macam saham MLM. Ada macam-macam cerita -- dengan irama yang berbeza bergantung kepada canaian penulisnya. Kalau letak gula, manis. Kalau secubit garam masin. Kalau secuit belacan dan asam maka semakin sedap dan lemak pengkisahan.
Tapi, kalau ditaruh segantang cili api bergiling lumat, maka pedasnya sampai ke mulut ternganga tak boleh nak tutup rapat. Apapun, yang saya tak boleh tahan apabila tayangan video lucah yang sungguh memualkan....
.....mualllllll sangat....
.....sampai kalau nak muntah pun belum setara lagi untuk menggambarkan betapa bencinya saya kepada si pelaku yang menggunakan taktik kotor -- sekotor tahi penuh sejamban ini, dengan niat untuk menjatuhkan tokoh parti lawan (Maaf sangat kerana penggunaan bahasa saya kali ini langsung tidak berlapik, kerana saya rasa perbuatan jelik begini memang tidak ada ruang lagi untuk diulas dan dikupas dengan bahasa penuh berbunga dan berbasa-basi).
Seriously, saya tak boleh terima kalau ada makhluk yang boleh termakan/terima hujahan berbentuk kotor begini kerana dalam Islam pun sudah menjelaskan dengan sejelas-jelasnya, pertuduhan tanpa saksi mata orang hidup (seramai 4 orang maknanya lapan biji mata!) memang tidak boleh diterima pakai langsung. Apalagi dengan pendedahan video klip yang sungguh jelik itu kerana ini berlaku di zaman berteknologi canggih. Kebijaksanaan manusia dalam bab edit gambar sudah terlalu hebat, tinggi menjulang hingga menggapai setinggi awan.
Dah bertahun-tahun hal sumbang ini berlaku. Habis semua perkataan lucah dan adegan lucah dipaparkan di televisyen dan di laman maya. Aduhai! Macam mana nak saring pemandangan/pendengaran anak? Kita ni sebagai mak bapak, terasa macam dah tak cukup kaki tangan dah, nak pantau anak. Jenuh saya pesan..."korang jangan tenguk gambar-gambar lucah kat Inetrnet tu tau. Kalau mama jumpa....siap!"
Bukan kerja senang tau. Memang kena menjadi spy leman, browse balik link yang anak buka di komputer mereka. Walaupun setakat ni takda (tak pernah jumpa) tapi dalam keadaan sekarang ni, jawabnya sangat jenuh nak kepung. Belum habis bab klip/filem lucah yang bersepah-sepah, tup...tup....muncul pula video porno yang sangat kotor. Lepas satu....satu. Tak berkerut kening kita dibuatnya? Heran sungguh, banyak sangat yang depa jumpa. Semuanya sebab nak menjatuhkan lawan politik? Apa tu? Kalau bertujuan mempengaruhi seseorang, maknanya hanya orang yang terlampau beng** saja yang boleh percaya benda-benda kotor dan jahat seperti itu,
Bagi saya, pendirian dalam politik mesti tetap dan tegas. Maknanya, sejak awal kehidupan, sebaik saja kita mengenali apa itu politik, maka kita perlu memikirkan 'kiblat' kita dan ia mestilah berlandaskan asas yang kukuh. Bagi saya, sudah tentu asasnya dan kiblatnya adalah Islam. Dari zaman berambut kembang dan berjeans pensil dulu....sampailah sekarang ni dah masuk zon umur bonus, pendirian saya tidak pernah berubah -- sama seperti lafaz syahadah. Jadi, tak timbul soal demam. Pilihanraya atau tak pilihanraya.....kiblat saya tetap sama.
Adakah manusia mudah yang berubah kiblat serta pangkahan mereka setiap kali pilihanraya?
Tak habis fikir saya tau. Agaknya, orang begini atau golongan beginilah yang mudah termakan apa saja momokan yang disogokkan. Kalau dicucuk sikit...depa melatah. Dicuit sikit...melatah. Kesudahannya, depa ni asyik mengubah pangkah. Sekejap depa pangkah hitam, sekejap, hijau, sekejap biru dan sekejap merah. Takziah! Takziah (sambil geleng kepala).
Padahal, bendanya mudah saja. Kita mesti berilmu. Ulamak kata (saya repeat...."ulamak kata...") hanya ilmu saja yang boleh memandu amalan kita. Kenapa saya tak guna perkataan 'bijak pandai'?
.....kerana zaman sekarang, jumlah orang bijak pandai memang ramai. Tapi orang bijak pandai yang tergamak buat benda bukan-bukan pun, berlambak-lambak. Dan mungkin kerana itu maka muncullah bermacam macam cerita, macam macam gambar dan macam macam video. Kalau kita renung dalam-dalam, dengan mata hati, pasti kita terfikir, takkan bodoh sangat si mamat ni. Kalau ya pun nak bermukah, nak melukah....tak kan tak reti pilih tempat,?Dok main taram saj? Kecualilah depa nafsu serakahnya macam naga. Tak kira masa dan tempat, main sembur saja. Hah! Kalau macam tu memang patut kena!
Tapi dalam keadaan waras, kita pun boleh fikir mana yang elok mana yang buruk. Jangan kan nak buat hal sekeji itu, kalau kita nak kentut pun selalunya kita akan berjaga-jaga, tenguk keadaan, tenguk tempat. Kita tau malu nak lepas macam tu saja. Jadi fikir fikirlah sendiri.
Jadi berbalik kepada cerita pilihanraya dan politik ni, saya hanya nak mengingatkan diri sendiri supaya tidak melatah. Istiqomah. Sejak cukup umur, masuk kali ini dah berpuluh-puluh kali saya berpeluang pangkah untuk pilihanraya. Dan yang pasti pangkah saya tak pernah berubah. tak kisahlah....kalau disogok kain batik sekodi atau dibagi melancung free ke Cameron Highland beribu-ribu kali, sekali pun, tapi pangkah saya tetap tidak akan berubah. Orang yang tau saya pangkah apa dan siapa... hanyalah arwah ayah.
Jadi, macam mana dia pesan kat saya, macam itu juga saya pesan kat anak saya. "Korang mesti ingat, apa yang korang pangkah tu akan ditanya balik oleh Allah. Korang tak pergi mengundi pun kena jawab kat Allah. Undi itu wajib. Tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi Allah."
Itu saja.
Jadi akhir kalam, saya nak share satu cerita yang saya dengar dalam salah satu kuliah Dhuha, tak ingat dah nama uztaznya. Al-kisahnya, tatkala Rasulullah s.a.w melintas di kawasan perkuburan, baginda terdengar jeritan dan rintihan dari salah satu ahli kubur. Lalu Baginda memohon kepada Allah s.w.t untuk berdialog dengan arwah, untuk mengetahui apakah duduk ceritanya.
Alkisahnya, kata si mati, "wahai Rasulullah, dahulu saya ini penjual kayu api. Satu hari, ada pelanggan minta seberkas kayu api. Jadi saya pun hantarlah ke rumahnya. Tapi dalam perjalanan menuju ke rumah pelanggan, saya patah sejuring ranting halus kayu api itu untuk mencolek gigi. Dan saya langsung tak bagi tahu pelanggan perbuatan saya itu. Rupa-rupanya, sebaik saja (mati) masuk kubur, malaikat Mungkar Nangkir tanya saya "kenapa saya ambil sejuring kayu api itu tanpa izin pelanggan?" Saya tak boleh nak jawab. Dan kerana tu, walaupun sudah mati *berpuluh-puluh tahun, tapi saya masih terus kena tanya dan kena siksa.
* (atau ratus tahun, saya tak pasti, kena rujuk balik ustaz ya)
.....sebagai manusia jahil, berkerutlah kening saya mendengarnya. Ambil sejuring ranting buat untuk mencolek gigi pun teruk digodam malaikat, macam mana pula dengan bab bab yang melibatkan juta juta? Bilion bilion? Begitulah kisahnya.
Jadi, akhir kalam, jom tenguk gambar anak angkat bulus kami, Raymond & Muezza. Dah bawa jumpa vet dan next week ada satu lagi appoinment untuk inject lenyap kecacingan.
p/s: Dalam kita dok bersorak nak pilihanraya ni, janganlah campak-campak anak kucing ya. Mereka pun makhluk Allah juga. Mahu hidup, ahu makan. Apalah sangat tahi kucing. Busuk sikit saja, makan pun tak sebanyak mana. Pandanglah mata kecil mereka dengan mata kasih sayang. Sebenarnya, berbudi dengan kucing (binatang) ni lebih meneduhkan jiwa.
:-))
Itulah saja pendapat saya yang sesudu ini.
Wassalam
(Gegak gempita kita marah kat Twitter dan FB kalau orang kutuk tokoh politik yang kita sayangi. Tapi kalau orang kutuk nabi kita? Hina Allah.....? Senyap sunyi.....!)