Assalamualaikum
NAMPAK kelas bunga gum paste minggu ni terpaksa saya tunda saja. Ada banyak perkara perlu diselesaikan kerana cuti baru raya Cina baru saja berakhir. Jadi banyak juga barang tak ada. Stok cutter bunga peonies pun belum sampai lagi.
Selain tu, persiapan kerja kawin pun banyak yang tertunggak lagi ni. Jadi, kena fokus kat persiapan bakal pengantin baru dulu. Baju mak dan ayah pengantin pun baru nak ditempah. Harap sempatlah disulam manik dan jemeki jubah si emak tu. Bab kad kahwin dan pelamin paling pening. In Sya Allah, minggu ni mungkin dapat dimuktamadkan sebahagiannya.
Jadi kepada yang sudah menempah tarikh untuk kelas gum paste ni, saya harap sudi sudilah terima saja tarikh lain yang akan saya tampal di 'papan iklan' blog ni.
Antara tarikh sesuai ialah 9 Mac 2013, Sabtu. Hanya 4 tempat saja, maksimum.
Jika berminat, silalah email untuk pengesahan kedatangan. Saya ajar cara mengadun gum paste yang boleh tahan sampai 2,3 bulan. Tak berkulat. Dan selain itu, saya juga akan beri resepi gum paste dan juga fondant.
Bunga yang diajar ialah peonies, bunga rose besar dan bunga petunia serta beberapa bunga kecil. Teknik mewarna dan cara menggubah dan merias jambangan bunga ini juga turut diperincikan. Biasanya, saya akan bagi juga tips lain, walaupun tidak dinyatakan secara hitam putih dalam modul pembelajaran.
captions: Akhirnya dapat juga bertemu Chah (bertudung hitam). Sebenarnya Chah sudah bersedia untuk mengerjakan ibadah Haji (2012), tapi tidak mendapat pengesahan perlepasan hingga ke saat akhir. Chah yang kecewa telah menelefon saya 2 hari sebelum kelas bunga gum paste berlangsung (sekitar November 2012). Katanya nak meneduhkan sedikit kehampaan di hati. Walau bagaimanapun kira-kira sejam kelas berlangsung, Chah menelefon memberitahu yang dia baru saja mendapat panggilan daripada pihak Tabung Haji. Dia dan suami dijemput ke Makkah. Alhamdulilah...itulah dinamakan rezeki untuk tetamu istimewa Allah swt. Masih saya ingat lagi nada suara Chah pada pagi itu....ceria sangat dalam sedu. Mestilah happy. Dan, selepas beberapa minggu kembali dari mengerjakan Haji, Chah bertandang ke rumah untuk melunaskan kelas bunga gum paste yang tertangguh. Sedap kurma yang Chah sedekahkan, juga air zamzam.
Bunga gum paste ini boleh disimpan berbulan-bulan. Maknanya kalau musim orang kahwin, buatlah bunga sebulan lebih awal. Sediakan saja warna yang boleh diharmonikan dengan semua tema. Jadi apabila tiba tarikh ditetapkan, kita cuma gubah saja jambangan gum paste ini dan letak atas kek. Setakat 4, 5 biji sehari tu...in sya Allah, sekejap saja sudah dapat disiapkan. Paling penting, bunga gum paste tidak akan lembik pada musim hujan. Kelopak sebesar mana pun, akan kekal mekar.
Ok, setakat ini dulu. Disertakan juga dengan gambar kelas terdahulu. Terima kasih kepada Chah, Kamsiah, Zakina, Liana dan tak lupa juga Amaruiza dari Brunei.
Sampai jumpa lagi, wassalam
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
3 comments:
Salam Kak Jun.
Moga2 persiapan menyambut menantu akan berjalan lancar. semoga dipermudahkan dan jangan lupa jaga kesihatan ya Kak Jun. Cayanggggg kak Jun
Salam Zu...terima kasih banyak2 atas doa. In sya allah...semua ok.
semuanya tekun2 belaka.. mesti cikgunya garang ni ;-)
Post a Comment