Followers

Wednesday, January 30, 2013

Pualam Hati

Assalamualaikum

PAGI tadi, saya hampir tergigit lidah sendiri. Allah Maha Mengetahui, tentang libang-libu dalam hati. Baru semalam saya berbincang (lagi) dengan encik Suami mengenai perkahwinan Alia, dan hari ini Ustaz Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz membincangkan topik Walimatulurus dalam program Tanyalah Ustaz, TV9. Alhamdulillah. Saya tanya, Allah jawab, dengan cara paling terang dan jelas. Tak payah bersuluh-suluh lagi. Alhamdulillah. Saya lega. 

Memang saya tak tau nak cerita macam mana, tapi setiap kali mengingatkan yang tak lama lagi Alia akan menjadi isteri orang, saya mesti menitiskan airmata. Bukan tak suka dia kahwin, tapi saya terasa bagai kehilangan sebelah tangan. Selama ini, susah senang, sedih jiwa saya hanya kepada Alia saya mengadu. Bergaduh pun dengan dia, bercerita dari hati ke hati pun dengan dia. Tak lama lagi dia akan menjadi isteri orang. Tak mungkin kebiasaan ini dapat diteruskan....sewenang-wenang.

Terasa sekejap sangat bersama Alia, sebagai 'anak aku sorang saja'. Terasa macam baru semalam saya kelam-kabut nak menyiapkan segala barut dan lampinnya. Penat 'berlari' ke sana sini, membawa tubuh kecilnya itu yang selalu sangat kena demam panas di sebelah malam. Berkeretalah kami jam 2, 3 pagi mencari doktor apabila demamnya susah kebah.

Tau tau dia besar. Dah nak masuk tadika. Sekali lagi saya libang libu sebab di rumah lama di Shah Alam tu tak ada kelas mengaji al-Quran. Jadi walaupun huru-hara, saya bertegas nak juga pindah ke Subang Jaya kerana kat sini pilihan kelas agama sangat banyak, pilih sahaja mana suka. Alhamdulillah. Apabila  masuk tujuh tahun, sibuk pula menguruskan sekolah rendah dan nak cari sekolah yang terbaik juga. Mujurlah di Subang Jaya, semuanya berbeza. Pejam celik pejam celik dan akhirnya Alia masuk menengah. Teringat saya, semasa kecil dulu, risau saya berganda-ganda sebab walaupun dah setahun lebih tapi Alia masih tak boleh berjalan. 

Maka saya macam orang mabuk mencari tempat sesuai untuk melatih anak yang satu ini. Masa tu mana ada Internet, jadi maklumat sangat susah. Semua kena tanya sana sini, kena berjalan 'keliling satu kampung' untuk mencari jawapannya. Akhirnya bertemu Tumble Tots, tempat latihan kecergasan fizikal untuk baby sampai ke usia tadika. Maka, setiap minggulah saya membawa Alia ke Tumble Tots kat Subang Parade, untuk terapi kaki. Akhirnya, bukan setakat dia boleh berjalan, tapi apabila dah masuk remaja pandai 'nak berlari'. Naik pening saya mengepungnya, mengadunnya. Kesudahannya, saya nekad berhenti kerja, sebab takut Alia menjadi remaja hanyut dek kerana emak terleka dengan kerja dunia.


Macam dalam mimpi saja. 


Alia anak pertama. Segala-galanya pertama. Apa yang saya teringin, saya bagi kat dia. Dulu semasa di Kolej Tunku Kurshiah, saya suka tenguk kawan-kawan yang pandai bermain piano. Terleka mendengar alunannya. Jadi apabila Alia menunjukkan minat, saya lagilah suka menyengat. Setiap minggu hantar dia ke kelas piano. Bulan puasa berbuka dalam kereta. Berlari antara kelas dan tarawikh. Akhirnya, mahir juga dia. Setiap kali Alia memetik lagu, saya terbuai kenangan lama. Walaupun, bukan untuk menjadi pemain muzik profesional (dan saya pun tak suka), cukuplah sekadar untuk suka-suka menghiburkan keluarga. 

Memang segala-galanya menuntut masa dan tenaga.  Hidup bagai sentiasa 'berlari', kelam-kabut menghantar ke kelas piano, ke kelas tuisyen, ajar itu ini, cerita itu ini, didik itu ini, share itu ini. Tau tau dia dah baligh...dah besar...dah masuk episod kehidupan lain. Kami dah boleh share kisah orang dewasa. Dah boleh berebut aksesori. Habis segala rantai subang gelang saya yang bermanik-manik besar tu, disapunya juga. Dulu perhiasan gerek itulah kesukaan saya. Masa tu emas berlian belum ada 'harga' di mata saya. Kalau saya bersiap untuk ke pejabat,  dia akan duduk memerhati di tepi meja mekap. Saya suka batu murah tapi diikat cantik walaupun sekadar batu kerikil dicat warna-warni. Tetap manis di mata saya dan juga di mata Alia. Dia pun kongsi kesukaan yang sama. Kain baju kita pun dia suka juga. Kalau hilang jaket atau seluar kegemaran...pergilah tenguk kat almari dia. 


Tapi belum apa-apa...belum pun kerja, tau tau dia nak nikah. Anak aku nak jadi isteri orang. Alhamdulillah. Bukan tak suka. Suka. Tapi, rasa sedih bagai ditagih-tagih. Dalam dok menyiapkan kelengkapan majlis perkahwinannya, hati tetap berkata-kata..."em alahai, tak lama lagi Alia dah nak kawin.".  Sebenarnya saya lebih menyediakan mental saya....dari benda-benda tu semua. 


Mungkin lain orang, lain caranya. Tapi panasaran saya berbeza. Perkahwinan ini diharapkan akan menjadi penyambung silaturahim, bukan 'menghanyutkan' Alia jauh dari akar umbi. Berulang kali saya pesan kat Alia, jangan nanti kalau dah kawin, Alia sampai lupa adik-adik. Tetaplah jadi kakak untuk mereka. Tetaplah ambil tahu hal mereka. Tetap juga menguruskan adik-adik, terutama menjadi penyendal emosi. Sokongan moral, itulah yang sangat bererti.



Make sure perkahwinan ini akan memberi kita sebuah 'keluarga besar'. Hidup menjadi lebih meriah. Anggap anak saudara pun macam anak sendiri juga. Tak ada beza. Itulah yang saya cuba jana. Adik-adik boleh telus bercerita dengan Alia dan sebagai anak sulung, Alia yang kena lebih bersabar dengan semua kerenah adik-adik. Itulah yang saya tegas kepadanya.

Jadilah kakak yang menyebabkan Adam, Arina dan Kasih akan terasa 'kehilangan'...terasa kerinduan, jika lama tak bersua muka. Macam mana kita hidup sekarang, macam itulah juga nanti walaupun ditakdirkan sudah hidup berasingan -- berlainan negeri. Alia cuma berpisah bumbung, bukan berpisah saudara. Walaupun kelak mama dan papa dah mati, adik beradik tetap bersatu hati.

Semoga Adam, Arina dan Kasih tidak kehilangan seorang kakak yang baik. Belum puas pun Kasih bermanja. Belum puas pun Arina bergaduh dengan Alia. Tak sempat lama pun Adam nak berkakakkan Alia, tak lama lagi dia dah jadi isteri orang. Keutamaan dah terbelah dua -- satu di tangan kanan dan satu di tangan kiri. Kuasa veto bukan lagi kepada saya...ibu...yang melahirkannya.

Tapi saya tahu, inilah fitrah kehidupan manusia. Cuma saya harap Alia tetap anak saya, tetap kakak yang baik untuk adik-adiknya. Kakak yang dah terbiasa menguruskan adik-adik kalau saya dan ayahnya tak dapat meladeni semua. 


Saya tetap mendoakan Alia akan bertemu jodoh dengan tunang yang disayanginya itu. Saya merestuinya dengan sepenuh hati. Tapi saya tetap berpesan, kalau Alia tidak menjaga syariat...saya tidak lagi akan mendekat!



Akhir kalam, teduhlah hati. Lima purnama itu masih jauh lagi. 

Wasalam

11 comments:

cikjaja said...

sedih baca entry kakJun kali ni...sesedih hati saya..sebab tak lama lagi adik juga akan berkahwin..tetapi saya masih sendiri...huhuhu...
p/s : saya silent reader tapi tergerak hati untuk beri komen hari ni..hehehee

Teratai said...

Sy pn terasa sayu bila baca entry kali nie. Anak sulung sy pn perempuan, itu la racun itu la penawar. Itu la kawan, itu la lawan. The only princess in the family n she is fitting against cancer. Hati ibu ini mmg terasa takut kehilangan malah hancur luluh. Tapi kene redha dan usaha agar Allah sembuhkan. Anak itu amanah Allah, tika tiba masa amanah itu perlu dikembalikan...maka hati kene kuat dan redha. Kak Jun masih bertuah, anak kJun hanya berpindah bumbung. She will always be there for you.

Seri Kandi Tanah Jauhar said...

bergenang air mata, hilang kata-kata membaca rangkap demi rangkap, baris demi baris. Mungkin satu hari nanti apa yang kak Jun rasa akan turut saya rasa juga. Saya percaya, dengan berkat tunjuk ajar mamanya, sejuk perut mama 9 bulan 10 hari mengandungkan Alia, Alia tidak akan lupa di mana asalnya, ingat selalu adik-adiknya, mama dan papa juga, insyaAllah.

Roseliza Mokhtar said...

Confirm K Jun tak boleh guna mascara waktu nikah Alia nanti....hihi...

Jun Cupcakekasih said...

Com jaja, sendiri takpa asalkan senang hati. Nanti tiba masanya pasti akan hadir dewa hati. Jadi skrg ni nikmati sepi...dan berdoalah si dia beriman.

Jun Cupcakekasih said...

Puan teratai, am speechless. Doa url anak you, semoga tabah ya! Tq for sharing.....

Jun Cupcakekasih said...

Seri....memang kak Jun cengeng....! Nanti kita melalak sama-sama.

Liza Hashim said...

Aduh, sayu baca entry kak jun ni.. Saya punya dua ank perempuan dan terasa cpt sgt diaorang membesar.. Jap je yg sulung dah bersekolah, rasa terlalu singkat masa yg saya luangkan utk mereka. Nk berhenti keje, tuntutan hidup memerlukan saya terus bekerja. Pasti one day, bila ank dara saya nk kawin saya pun berperasaan mcm kak jun. Fikirkan pun dah mengalir air mata..

Zurina said...

naluri seorang ibu...;(

Suara Kalbu said...

Kenapa air mata saya mengalir baca entry Kak Jun yang ini ?

zuwaidah said...

Saya pun terasa sayu, moga dipermudahkan segala perjalanan baru bagi Alia dan semestinya pesanan dari ibunya tetap digalas dengan penuh tanggungjawab. Kak Jun jangan bersedih hati, jaga kesihatan ye. Entah mcm mana saya nanti bila tiba waktu anak2 berkawin nanti.

Kak Jun, pejam celik pejam celik...lima purnama itu pasti tiba nanti.