Followers

COPYRIGHT & USE OF IMAGES
All images on this blog are copyright of CUPCAKEKASIH and may not be published without the permission. If you would like to use some of our images feel free to email me at cupcakekasih@yahoo.com

Wednesday, February 9, 2011

Cinta Bunian dan Halimunan




Salam semua,

Isnin dan Selasa atau hari apa saja dalam kalendar saya nampaknya masih padat. Sedar-sedar saja sudah seminggu berlalu. Hendak mengadap Internet pun tak sempat. Baca email pun di handphone saja. Setakat pandang pandang dan jeling jeling saja. Rasa bersalah sangat kalau mencuri terlalu banyak masa melayari alam siber. Jadi, kesudahannya emel yang penting saya akan go through semula pada sebelah malam -- lewat malam -- sebelum tidur.


Kadang-kadang tu saya tertidur dengan handphone masih di tangan. Ish ish ish.... mengalahkan usahawan terbilang. Kalaulah cik Suami saya jenis kaki cemburu, memang perang boleh meletus bertalu-talu. Yalah, perasaan sapa tak 'merusuh' kalau si isteri asyik genggam telefon -- dari malam sampai ke subuh. Kadang-kadang tu, apabila hp berbunyi, puas saya cari. Oh! rupa-rupanya dihempap badan sendiri. Dahsyatkan? Macamlah buat bisnis juta-juta. Tapi, dalam dok belangkas dengan hp 24/7 tu, tetap juga saya tidak dapat membalas semua email dalam kadar segera. Jadi saya nak minta maaf sangat-sangat kepada semua pengirim yang sabar menanti. Hakikatnya, kita semua sibuk dan tempuh masa 24 jam sehari itu amat sukar untuk dicatu. Setelah ditimbang dan disukat, kesudahannya nak peruntukan masa senggang untuk diri sendiri pun kena curi-curi.


Apapun, bercakap pasal email, semalam saya terima lembaran daripada seorang pembaca yang hanya mahu dikenali sebagai Anonymous. Awalnya saya tak berniat hendak membaca hingga ke hujung ayat sebab mata sudah cukup kelat. Nampak bantal saja. Tapi mukadimmah Puan Anonymous ini yang sangat gempak, betul-betul membuat saya senak.


'Kak Jun, tolong saya ya. Saya dah tenat.'

Cuba pembaca bayangkan perasaan saya ketika itu! Mau tak panasaran?

"....dulu, saya selalu baca tulisan kak Jun kat majalah Jelita. Bila kak Jun berhenti, saya hilang jejak. Saya memang nak sangat jumpa kak Jun. Tak sangka boleh terjumpa blog kak Jun."


Memang betul kata Puan Anonymous dunia siber ni tak ada sempadan. Jadi macam-macam benda kita boleh jumpa hanya dengan klik satu button sahaja. Bak kata orang tu, tepuk dada tanya selera. Sama ada nak jadi baik atau nak jadi jahat ia hanya dibatasi niat dan kudrat. Kalau setakat nak mencari kawan lama tu, macam selak-selak taugeh saja mesti jumpa.


Bukan setakat kawan, musuh lama dan kekasih lama pun sama juga ceritanya. Tapi, bab ini rasa-rasanya tak perlulah dipanjangkan. Buat apa nak menjolok sarang tebuan. Tapi, saya pasti ramai yang buat kerja ni? Kan? Maksudnya, memunggah seluruh pelusuk dada Facebook itu semata-mata henda merisik khabar kekasih lama? Skodeng kisah hidup bekas suami, atau janda sendiri. Ataupun, tenguk apa agaknya khabar `madu dan emak mentuaku yang tak pernah sebulu itu? besar mana rumahnya? Cantikkah baju? Comelkah anak depa? Tak gitu? Jadi, sekali lagi, kalau betul dah pasang niat. Batalkan saja ya.


Apapun, selain hal ini ada juga yang menggunakan Internet untuk melepaskan resah dan sunyi. Bergebang di Chat Room yang penuh misteri. Walaupun cerita ini sudah basi, tapi setakat ini ramai yang saya kenali, bercerai gara-gara skandal yang bermula dari ruang sembang. Ternyata, kebanyakan yang bertandang ke situ adalah jiwa sambang yang berniat sumbang.


Bertahun-tahun dulu, tatkala Internet baru saja sampai ke pesisir pantai bumi Malaya ini, seorang kenalan saya, seorang peragawati yang cantik jelita sudah terkena penangannya. Akibat encik Suaminya (kini bekas suami) ketagih bersembang dengan kenalan halimunan, akhirnya rumahtangga mereka tersungkur meyembah bumi. Hancur berkecai! Apa tidaknya jika setiap malam, routine encik Suami mencari hiburan di depan komputer. Bukan setakat sejam dua, tapi santak sampai ke dini hari. Isteri mana yang tak makan hati?


"Aku bermadu dengan bunian Jun"
"Bunian? Biar betul? Kau yang moden macam ni pun percaya benda tahyul?"
"Iya. Bunian ler namanya tu kalau tak nampak rupa. Tak dengar suara. Tapi boleh main gila. Angau rindu sampai aku ni jadi tunggul mati."



Saya cuma boleh kerut kening saja. Bukan sebab encik Suaminya bercinta dengan 'bunian' di alam siber. Tapi saya tak habis fikir, macam mana perempuan yang sah-sah berstatus model ini juga boleh terpanggang juga dek gara-gara serakah pasangan yang tak setia. Kalau selalunya lelaki sering menjadikan alasan bini selekeh, tak cantik, tak reti berias dan berdandan sebagai punca mereka mahu buka 'cawangan'. Tapi kes ini macam mana pula sebab kita bercakap mengenai seorang peragawati. Maknanya mestilah cantik, langsing dan seksi. Kalau anda tak muat pakai baju bersaiz S, dan kena pakai kasut bertumit 4 inci untuk nampak tinggi, janganlah berani-berani nak mengaku diri itu model ya. Biasanya kita anggap peragawati adalah insan yang sempurna. Tak begitu?


Jadi sapa pun pasti tak habis fikir jika wanita yang cantik molek ini juga panasaran. Sedikit pun dia tak sangka istana cinta yang dibina bersama kekasih hati hanya sempat bertahan beberapa tahun saja. Sangkanya perkahwinan dahulu diikat dengan tali dari syurga. Tapi hakikatnya ia dibina dengan pasir pantai dan buih saja. Jadi, sekali dihentam Tsunami, hancur runtuh segala mimpi murni. Dan, lebih mengaibkan lagi apabila kekasih bekas suami -- iaitu si 'Bunian' alam maya itu -- rupa-rupanya lelaki!


Ya, macam kaum nabi Lut! Tak habis fikir juga macam mana
seorang lelaki yang sebelum ini hidup secara halal, akhirnya memilih kenikmatan diluar tabii. Agaknya encik Suami ini juga tak sangka dia sedang bermain api dengan seorang lelaki. Tapi dah terlanjur bercinta, berkasih sayang.... mana mungkin perasaan yang sedang dibakar serakah asmara yang menyala itu ditepis begitu saja.


Nauzubillahiminazzalik.


Apapun, berbalik kepada email yang saya terima itu, rupa-rupanya di penghujung email barulah jelas niat Puan Anonymous ini berusaha menjejaki saya. Sebenarnya dia pernah membaca rencana saya mengenai ketaksuban wanita terhadap cinta lelaki sehingga sanggup melakukan apa saja -- hatta sampai menjadi murtad pun tak apa. Macam kes si pengirim email ni juga.


"Boleh tak Puan bla bla bla beri saya alamat makcik X. Saya nak sangat jumpa dia, nak berubat dengan dia."


Hem, saya terus hilang minat apabila dia sebut pasal hal 'nak berubat' kerana saya masih ingat lagi segala macam mantera yang makcik X guna dalam pengubatannya. Jadi, saya tak mahu terbabit dalam hal ini. Mandi bunga, perasap kemiyan, bertangkal dan puja memuja bukan hal main-main ya.


Mengapakah kerana seorang lelaki, wanita sanggup mati? Kalau pun bukan mati kerana bunuh diri tapi mati akal, mati pertimbangan dan mati iman. Mati juga namanya itu.


Tapi, hal ini tetap berlaku. Ramai yang mencari bomoh semata-mata mahu manderam perempuan itu dan perempuan ini. Semua atas dakwaan 'kau dah kebas laki aku'. Jadi mereka nak menghalalkan cara apa saja, atas nama hendak menyelamatkan rumahtangga.


Dan, Puan Anonymous ini juga tak terkecuali kerana dia mahu sangat bertemu makcik X sebab dah mati akal, tak tahu macam mana nak merebut kembali cinta encik Suami.

"Kak Jun kata makcik X boleh buang sial. Saya dah cari kelapa muda dan bunga. Tinggal nak jumpa makcik X saja."


Saya terkesima.


Memang salah saya juga kerana menulis mengenai makcik X. Malah, saya described secara detail mengenai upacara mandi bunga yang dilakukannya. Kata Makcik X, dia boleh nampak benda halus, benda ghaib. Benda yang orang biasa tak boleh nampak.


Dahulu, saya langsung tak berfikir dua kali, sama ada betulkah dakwaan Makcik X ini. Kalau dia kata dia boleh tenguk benda halus maka saya tulislah fakta itu. Kalau dia kata boleh nampak jembalang saya iyakan saja tanpa berfikir panjang.


Dua, tiga kali juga saya berulang-alek ke rumahnya untuk melihat upacara mandi bunga. Kadang-kadang dia bukan sahaja meminta bunga, tapi meminta kelapa muda dan rantai emas. Makcik X akan memandikan wanita malang ini dengan air kelapa muda dan meminjam semangat emas untuk memulihkan serinya. Dia juga boleh meramalkan untung nasib rumahtangga si empunya badan dengan memakai rantai emas tadi. Kadang-kadang dia minta pakai sehari. Dua hari, Tiga hari. Ataupun, untuk selama-lamanya, atas nama hendak menelek jejak si bekas suami.

Mukjizat apakah yang dimiliki oleh manusia biasa sehingga boleh meramalkan masa depan rumahtangga kita? Tapi, bagi isteri yang ditinggalkan suami atau dicurangi tunangan atau buah hati, sepatah kata dari dukun dan bomoh amat besar maknanya. Asalkan hati pasangan yang tawar dapat dimaniskan semula. Wanita sanggup dikeldaikan secukup rasa. Tak kira sama ada depa miliki degree, Ph.D, berpangkat Datin atau Puan Sri, tapi kerana seorang lelaki -- soal logik sudah tidak dipeduli. Janji 'burung' yang terbang kembali ke sarang. Ranjang yang sepi, kembali mewangi dan berwarna-warni.


Jadi, bab ini saya tak berani nak ulas lebih-lebih kerana ia melibatkan soal hati dan akidah. Apapun, jangan beralasan untuk menghalalkan cara kerana sudah jelas hukum hakamnya. Haram tetap haram. Jangan sampai terpesong akidah. Suami (atau bekas suami) yang buat dosa, kita sama-sama hendak terjun ke neraka? Jangan sesekali kerana seorang lelaki, kita menjadi buta hati.


"Jun, kalau aku tak layan dia suami aku. Berdosa tau."


Oh! walaupun suami ajak tukar tukar pasangan dengan kawan? Keliru sekejap saya. Adakah aku di Amerika atau di Malaya?


"Jun, aku nak pakai tudung, tapi laki aku tak bagi. Dia kata kalau aku pakai jugacdia nak tendang aku."
"A..ah! Betul tu Jun. Cik ki aku kata, tak payah pakai tudung. Dosa dia yang tanggung."


Hem, lelaki yang fasik mahu bercakap pasal dosa pahala? Wajarkah kita mengenepikan hukum Allah kerana takut hukuman daripada seorang suami. Mudahnya bersumpah mahu memikul dosa si isteri. Cuba ambil puntung rokok yang masih menyala dan cucuh telapak tangan suami. Tahan tak? Kalau melecur sikit dah melolong macam polong, masih mahu mendabik dada mencabar hukum Allah yang Maha Agung?


Saya tak berani nak berhujah lagi bab ini kerana ilmu saya pun setakat hafal ayat lazim dan ayat Qursyi. Apapun, kepada Puan Anonymous maaf sangat kerana saya memang tak tahu alamat terkini Makcik X yang begitu dipuja-puji. Jika tahu pun, tak mungkin saya beri. Tak mahu bersubahat dan tak percaya hal khurafat.


Akhir kalam, marilah kita tatap gambar sekitar kelas dekorasi kek Princess baru-baru ini.


Wasalam.

Cikgu Zila dan Kak Som dengan Kek Princess mereka. Rindulah kat you all.
Kak Som...dah mulakan projek?


Asmah di samping Kek Princess hasil karyanya.
(p/s: Asmah....jangan give-up tau)

2 comments:

My Life My World said...

Terima kasih atas rencana akak ni, biarpun tak baca Jelita lagi ... tapi saya masih boleh dapat sesuatu yang bermenafaat di blog ini.

Suka sangat ayat akan "Jangan kerana seorang lelaki, kita menjadi buta hati" :)

cupcakekasih said...

Terima kasih juga kerana sudi singgah blog kak Jun. Sekadar usik2 manja saja ni